Sunday, October 13, 2019
Kertas kerja seminar menangani
Kertas kerja seminar menangani Pendahuluan Gejala sosial sudah menjadi semacam satu fenomena dalam dunia moden. Cendiakawan Barat sudah mula membezakan masalah sosial zaman kontemporari berbanding dengan zaman sebelumnya. Bahkan sudah ada kursus di universiti Barat yang bertajuk Contemporary Sosial Problems (Masalah Sosial Kontemporari). Ini menunjukkan bahawa terdapat semacam satu peralihan dan perubahan dalam masalah-masalah yang berkaitan dengan gejala sosial sama ada bentuknya, trend, punca dan implikasinya kepada sesebuah masyarakat dan negara. Gejala sosial pula menjadi semakin berkembang ruang lingkupnya. Gejala sosial menjadi semakin rencam dan pelbagai. Ia seperti duri dalam daging bagi masyarakat. Kita bersedih kerana ia banyak melibatkan generasi muda kita yang merupakan bakal pewaris kepimpinan negara. Rempuhan globalisasi negatif dan pengaruh modenisme memungkinkan masalah dan gejala sosial menjadi semakin kritikal ditambah dengan faktor sikap, pembudayaan budaya berhibur yang menggalakkan percampuran bebas yang keterlaluan, kurangnya penekanan kepada aspek keutuhan kecemerlangan sahsiah dan kerohanian, kekeliruan pemahaman dalam aspek nilai (aksiologi), kerendahan jatidiri, kurang semangat patriotisme, kurangnya langkah-langkah pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang masih longgar dan kurangnya kesedaran diri, pengabaian tanggungjawab keibubapaan serta pengaruh rakan adalah di antara faktor mengapa gejala sosial menjadi semakin mengancam. Definisi Gejala Sosial Gejala sosial ataupun masalah sosial (social problem) adalah satu aktiviti atau perlakuan (perbuatan) yang membabitkan perlakuan atau tindakan negatif yang menjejaskan kredibiliti dan maruah diri, keluarga, komuniti, masyarakat, agama dan masyarakat, bertentangan dengan norma dan nilai ketimuran masyarakat, bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang negara, merugikan masyarakat dan negara, serta menyimpang daripada keluhuran dan kedaulatan undang-undang, peraturan dan ajaran agama. Di Malaysia, gejala sosial atau masalah sosial bolehlah dianggap sebagai satu fenomena yang tidak berkesudahan seandainya tiada langkah-langkah tegas dan drastik yang diambil untuk mengatasinya. Ada perlakuan gejala sosial yang tidak disifatkan sebagai jenayah seperti melepak dan membuang masa. Contoh-contoh Gejala Sosial Yang Berkaitan Dengan Agama Islam Gejala atau masalah sosial yang berkaitan dengan tingkah laku sosial negatif dan menyimpang serta kesalahan keagamaan boleh dibahagikan kepada: berkaitan dengan tingkah laku negatif atau perlanggaran nilai Islam berkaitan dengan aqidah berkaitan dengan kemurnian agama atau institusi keagamaan berkaitan dengan ketatasusilaan Di antara gejala sosial ataupun jenayah (agama) yang berkaitan dengan aqidah ialah seperti melakukan perbuatan dengan apa cara sekalipun yang dikatakan berkaitan dengan ajaran Islam sedangkan ia bukanlah daripada ajaran Islam, pemujaan atau penyajian kepada selain daripada Allah s.w.t., mengaku sebagai bukan Islam, mengishtiharkan diri sebagai Nabi, Rasul, Wali ataupun Imam Mahdi, tidak percaya orang Islam sebagai orang Islam dan mengkafirkan orang Islam. Pengaruh gejala sosial ini boleh menjejaskan aqidah individu dan orang yang terpengaruh dengannya. Terdapat negeri yang membicarakan kes-kes di bawah Enakmen Jenayah Syariah[2] seperti berikut: baring diriba atau celah kangkang pasangan mencium atau berkucupan berpeluk atau berpelukan memasukkan tangan atau saling memasukkan ke dalam pakaian pasangan masing-masing Ini adalah satu langkah yang bijak bagi membendung budaya mendekati zina. Kesalahan-kesalahan yang berkaitan keluhuran agama Islam dan ajarannya, contohnya adalah seperti menghina agama Islam atau menyebabkan ia dihina, mempersendakan agama Islam, merosakkan masjid atau surau, menghina pihak berkuasa agama, menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar agama tanpa tauliah, menyebarkan dokumen yang bertentangan dengan syarak, berjudi, penggunaan yang berkaitan arak, tidak tunai solat Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa sebab munasabah, enggan bayar zakat, sumbang mahram, aktiviti pelacuran, bertindak sebagai bapa ayam atau ibu ayam, persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah, persetubuhan sejenis, persetubuhan dengan binatang, khalwat, menyerupai lain jantina dalam pakaian. Perangkaan Jenayah dan Gejala Sosial di Malaysia Bagi tahun 1997 hingga 2003 di seluruh negara, telah tercatat statistik jenayah keganasan melibatkan rogol (sebanyak 9,878 kes), kecederaan kepada manusia (35,358 kes), samun bersenjata api (4124 kes), samun tanpa senjata api (73,031 kes), samun berkawan bersenjata api (7 kes), samun berkawan tanpa senjata api (10,948 kes), samun berkawan bersenjata api (453 kes), cubaan membunuh (407 kes) dan bunuh (3997 kes).[3] Jenayah harta benda bagi tahun 1997 hingga 2003 di seluruh negara pula mencatatkan curi motosikal (295,942 kes), curi kereta (46,979 kes), curi lori/van (25,990 kes), pecah rumah dan curi waktu malam (156,284 kes), pecah rumah dan curi waktu siang (55,902 kes) serta lain-lain jenis jenayah mencuri (307,974 kes). Kategori lain-lain jenayah mencuri daripada tahun 1997 hingga 1999 termasuk jenayah ragut.[4] Bermula tahun 2000 hingga tahun 2003 sahaja, jenayah ragut berjumlah 59,888 kes.[5] Pihak Polis Diraja Malaysia telah menyelesaikan sebanyak 360,360 kes yang melibatkan jenayah keganasan dan hartabenda (jenayah indeks) bermula daripada tahun 1997 hingga tahun 2003.[6] Pihak Polis patut diberikan pujian kerana berjaya menyelesaikan masalah jenayah ini. Walaupun demikian, perangkaan jenayah indeks cukup merisaukan kita. Apakah sebab-sebab berlakunya sedemikian banyak kejadian jenayah? Apakah masyarakat kita sudah lagi hilang nilai murni keagamaan yang mengawal diri dan perbuatan kita atau kurangnya kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan? Bagi jenayah bukan indeks, bermula tahun 1997 hingga bulan Ogos 2003 sebanyak 13, 588 kes pecah amanah jenayah telah berlaku, penipuan (27, 682 kes), pemalsuan (2,299 kes), wang palsu (661 kes), kad kredit (960 kes), jenayah siber (3,621 kes, bermula tahun 2000), hacking (penggodaman internet) (2 kes, bermula 2003), akta hakcipta (976 kes, bermula 2000), akta penapisan filem (4,968 kes, bermula tahun 2000), lain-lain agensi kerajaan (2,256 kes, bermula tahun 2000) dan lain-lain jenayah perdagangan (8959 kes).[7] Rampasan Narkotik Dadah (penyalahgunaan) adalah musuh nombor satu negara. Kes-kes narkotik yang melibatkan rampasan oleh pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan peningkatan keberjayaan dari segi statistik. Namun statistik yang akan dipaparkan menunjukkan peningkatan aktiviti pengedaran dadah dan narkotik. Ubat batuk mencatatkan rampasan kuantiti terbanyak manakala dadah berbentuk pil (berbiji) terbanyak ialah pil psikotropi. Bermula daripada tahun 1998 hingga bulan Mac 2004 sebanyak 184.54kg heroin base telah dirampas di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, heroin no. 3 (1321.18kg), heroin no. 4 (5kg), ganja (10,889.44kg), kokain (51.801kg), syabu (323.52kg), ectasy (734,805 biji), ectasy kg. (176.45 kg), ketamin (102.35kg), erimin 5 (1,165,043 biji), yaba (154,095 biji), black sesame (8500 biji), pil psikotropi (3,398,752 biji), ubat batuk (111,191.40 liter), morfin (0kg), candu mentah (233.97kg) dan candu masak (12,496kg).[8] Pil-pil mudah sorok seperti Erimin 5, Ectasy dan pil psikotropi cukup mudah diedarkan dan agak sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Punca Gejala Sosial atau Masalah Sosial Dalam era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat, nilai-nilai Barat yang negatif dan bertentangan dengan Islam dengan senang dapat menular dan mempengaruhi umat Islam. Ditambah pula dengan lemahnya iman dan kekurangan kekuatan jatidiri, individu Islam dengan mudah akan terpikat dan terikut-ikut dengan godaan syaitan dan runtunan nafsu syahwat. Sikap yang memandang remeh kepada masalah besar seperti gejala sosial boleh mengundang padah. Budaya berhibur yang keterlaluan (entertainment culture) dan budaya hedonisme (berseronok) yang merupakan di antara faktor kejatuhan tamadun Greek boleh meruntuhkan tamadun Melayu Islam. Kita mesti berasa risau dengan gejala sosial, takut-takut Allah akan menghancur binasakan kesemua kita. Firman Allah s.w.t.: Yang bermaksud: Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat) lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.[9] Pelan bertindak dan strategi yang rapi serta tindakan yang berterusan perlu diambil dalam usaha untuk menangani fenomena gejala sosial di kalangan masyarakat. Kerajaan, pihak berwajib, pemimpin, masyarakat, guru dan pensyarah, ibu bapa dan setiap individu perlu memainkan peranan untuk menangani permasalahan ini. Ibu bapa yang tidak memantau dan mengambil berat perkembangan sosial anak-anak adalah di antara punca utama mengapa remaja kita mudah terjebak dalam gejala sosial.[10] Ibubapa yang terlalu mengikut kehendak anak-anak hingga dibiarkan bebas boleh menyebabkan anak berada di luar daripada kawalan dan bertindak di luar daripada batasan agama. Banyak gejala sosial yang berkait rapat dengan kurangnya pengawasan dan kawalan terhadap kehendak dan perbuatan anak-anak. Selepas ibubapa berusaha untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak, ibubapa perlulah berdoa dan bertawakkal serta berserah diri kepada Allah s.w.t.. Nabi Luth pernah berdoa untuk keluarganya. Firman Allah s.w.t.: Nabi Lut berdoa): Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu. Maka kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya semua.[11] Persoalan sikap anak-anak kita banyak berpunca daripada didikan keagamaan dan kerohanian yang tidak seimbang di antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Salah faham terhadap konsep kebebasan di kalangan anak-anak dan ibu bapa banyak mempengaruhi faktor kepada meruncingnya gejala sosial. Konsep kebebasan Barat perlulah digantikan dengan konsep kebebasan Islam. Ibubapa yang sayang kepada anak-anaknya adalah mereka yang menjaga, mendidik, mengasuh dan memberi pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak. Firman Allah s.w.t.: (Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti). Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).[12] Ibu bapa dan anak-anak yang tidak memahami tanggungjawab masing-masing adalah juga faktor kepada kemunculan gejala sosial. Ibubapa dan anak-anak yang terlalu individualistik dan materialistik terlupa akan tanggungjawab dan amanah yang ditanggung oleh mereka. Ingatlah kepada firman Allah s.w.t.: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).[13] Pendidikan keagamaan kepada anak-anak harus ditekankan pada peringkat awalan lagi dan dijalankan pemantauan ke atas tingkah laku dan akhlak anak-anak. Ibubapa mempunyai peranan besar dalam membendung gejala sosial di peringkat keluarga. Pendidikan aqidah adalah di antara perkara yang mesti diutamakan sepertimana nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya. Firman Allah s.w.t.: Yang bermaksud: Ketikamana Luqman berkata kepada anaknya sambil berpesan, wahai anakku janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) kerana sesungguhnya perbuatan syirik itu merupakan kezaliman yang sangat besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).[14] Anak-anak mestilah diajar dan membiasakan diri bersembahyang kerana solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang tidak bersembahyang meruntuhkan agama. Pokoknya sembahyang itu akan dapat mencegah seseorang daripada terlibat dengan gejala sosial. Jika telah bersembahyangpun masih lagi terlibat dengan gejala sosial, maka seseorang perlu bermuhasabah dan memperbaiki sembahyangnya. Firman Allah s.w.t.: yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.[15] Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Bermaksud: Serulah anak-anak kamu bersembahyang apabila mereka mencapai umur tujuh tahun dan pukullah mereka (dengan tujuan mendidik) apabila mereka mencecah umur sepuluh tahun.[16] Konflik, keretakan dan krisis rumahtangga boleh menyebabkan anak-anak menjadi mangsa. Keluarga yang tidak harmoni dan tidak berpegang teguh kepada agama boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar gejala sosial. Anak-anak yang tiada tempat mengadu dan bergantung akan bertindak sendiri dan mencari jalan keluar daripada sesuatu masalah dengan tidak menimbang-nimbang dengan sewajarnya. Perselisihan faham antara anak dengan ibu bapa ataupun sesama ibu dan bapa juga menyumbang kepada masalah gejala sosial kerana anak-anak akan lari daripada rumah dan mencari orang yang boleh diluahkan perasaan. Kadang-kadang anak-anak akan mencari jalan keluar yang mudah untuk menyelesaikan masalah dengan mengambil dadah, arak dan seumpamanya.[17] Perselisihan faham anak dengan ibubapa adalah antara sebab utama kenapa anak lari daripada rumah dan kemudiannya akan timbul masalah-masalah lain yang berkaitan. Keluarga yang selalu berlaku perselisihan faham akan mengundang masalah yang lebih kritikal. Ibu bapa yang selalu bergaduh di hadapan anak-anak akan memberikan contoh yang negatif kepada anak-anak.[18] Penolakan yang tidak berhikmah akan teman lelaki anak-anak adalah di antara faktor kenapa anak-anak perempuan lari daripada rumah dan seterusnya mengambil tindakan yang melulu. Adalah elok diperbincangkan di peringkat keluarga dari hati ke hati sekiranya anak-anak sudah mempunyai kemampuan, persediaan dan kehendak untuk berumahtangga. Proses globalisasi negatif telah merobah nilai dan budaya hidup umat Islam. Kebebasan yang keterlaluan yang diberikan kepada anak-anak muda kita telah disalahgunakan. Hiburan terlalu dipentingkan dan dibudayakan hingga hilangnya pengagungan terhadap budaya pembelajaran (learning culture) dan budaya ilmu (knowledge culture). Anak-anak muda sanggup mencari wang berpuluh ringgit untuk berhibur, akan tetapi berapa ramai yang sanggup menghabiskan wang untuk tujuan pengajian dan pembelajaran? Ada tanda-tanda kehendak masyarakat Islam kepada pendidikan Islam terutamanya peningkatan jumlah institusi pendidikan Islam. Ini adalah satu titik peralihan yang memberangsangkan. Alangkah baiknya seandainya ruh dan semangat daripada tarbiyyah dan tadib itu menyerap dalam diri remaja kita. Kekuatan jati diri dengan nilai-nilai murni keagamaan, keimanan dan ketaqwaan boleh menjadi benteng kepada para remaja dan masyarakat kita daripada terjebak daripada gejala-gejala yang tidak sihat. Konsep ihsan (Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah Allah melihat kamu, seandainya kamu tidak melihat Allah, akan tetapi Allah melihat kamu) adalah manifestasi daripada kekuatan jatidiri yang mampu menangkis ancaman gejala sosial. Kerapuhan dan keruntuhan institusi kekeluargaan banyak menyumbang kepada kejadian gejala sosial yang berlaku. Kurangnya pengetahuan tentang ilmu keibubapaan dan psikologi serta pengabaian tanggungjawab keibubapaan juga menyumbang kepada kemunculan gejala sosial. Hambatan dan tumpuan kepada materialistik hingga mengabaikan perhatian, kawalan, pemantauan dan pendidikan terhadap anak-anak kerap menyumbang kepada meningkatnya gejala sosial di kalangan remaja. Keretakan hubungan suami isteri dan kerenggangan ibu bapa dengan anak-anak juga turut menyumbang kepada peningkatan jumlah remaja yang terlibat dengan gejala-gejala negatif. Budaya Dekati Zina Allah s.w.t. telah mengetahui tentang perbuatan-perbuatan yang boleh menjurus ke arah berlakunya zina. Sebab itu Allah s.w.t. mengharamkan budaya dekati zina. Firman Allah s.w.t.: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).[19] Hukuman terhadap zina walaupun kelihatan berat, sebenarnya ia banyak mengandungi unsur pencegahan dan pengajaran untuk yang terlibat dan kesemua anggota masyarakat. Firman Allah s.w.t.: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.[20] Mengatasi dan Menangani Gejala Sosial: Tanggungjawab Bersama Pembenterasan gejala sosial adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan sahaja kerajaan. Komitmen semua pihak diperlukan bagi mengwujudkan satu tindakan bersepadu sesama agensi-agensi kerajaan dan masyarakat keseluruhannya. Janganlah ada sikap memandang ringan mengenai perkara ini. Gejala sosial ibarat penyakit, setiap penyakit ada penawarnya. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram. (Riwayat Abu Daud) Pengenalpastian Masalah Dan Penubuhan Jawatankuasa Task Force Mengenalpasti masalah merupakan asas dalam penyelesaian masalah. Perlu diadakan satu kajian mendalam mengenai gejala sosial, punca-punca dan implikasi yang timbul daripadanya terhadap agama, bangsa dan negara. Satu jawatankuasa ad-hoc boleh ditubuhkan untuk memulakan dan menggerakkan usaha murni ini. Kajian ini boleh mengumpulkan maklumat yang sedia ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama, kementerian ataupun agensi-agensi kerajaan. Kombinasi ini memungkinkan satu Pelan Tindakan yang komprehensif bagi menangani gejala dan masalah sosial. Dengan adanya data dan statistik, pengenalpastian masalah akan dapat menjejaki akar umbi masalah dan penyelesaian masalah dapat dilakukan segera. Dicadangkan agar ditubuhkan satu jawatankuasa task force daripada gabungan pelbagai agensi, kementerian, badan berkanun, NGO dan ahli akademik untuk tindakan pembenterasan yang lebih bersepadu dan komprehensif. Kadang-kadang tiada keseragaman dan pengelolaan yang jitu dalam menangani isu gejala sosial. Program Khidmat Negara dan Sukarelawan Al-Falah YADIM boleh dijadikan sebagai wadah untuk menampilkan juga pembentukan dan kemantapan sahsiah, emosi, mental dan fizikal agar seimbang dengan tuntutan rohani, agama dan jasmani di samping menanam sikap dan semangat patriotisme, nasionalisme dan jatidiri. Signifikan Pendidikan Strategi pendidikan secara dasarnya boleh menjadi asas untuk pembentukan akhlak generasi kita dan menyediakan suatu foundasi untuk pembentukan generasi beriman dan bertaqwa. Perlu dinilai semula kurikulum pendidikan Islam daripada peringkat rendah ke menengah dan tinggi dengan memasukkan elemen penyedaran mengenai masalah sosial yang menggugat agama, bangsa dan negara. Pembinaan kekuatan emosi, psikologi, keagamaan dan jati diri yang utuh mampu menjadi benteng daripada terjebak ke dalam kancah gejala sosial. Pengharmonian Persekitaran Sejauh mana dan selama mana seseorang Muslim dapat bertahan seandainya persekitaran itu sendiri semacam mengundang atau mempengaruhi seseorang individu itu untuk melakukan tindakan salah laku ataupun jenayah? Persekitaran yang kondusif dan bebas daripada ancaman gejala sosial dan maksiat perlu dibanteras selari dengan usaha pemantapan aqidah, iman dan taqwa. Jika tidak, usaha kita menangani gejala sosial ibarat orang yang menebas lalang, akan tetapi akar umbinya dibiarkan sahaja tumbuh dalam tanah. Akibatnya, lalang yang ditebas akan tumbuh semula seminggu kemudiannya. Maka perlulah diwujudkan persekitaran yang kondusif dan sifar-maksiat. Ibubapa Pembentuk Sahsiah dan Peribadi Anak-anak Ibubapa yang sebenarnya harus memainkan peranan awal dan memantau pendidikan anak-anak. Dalam Islam, anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih atas dasar fitrahnya. Penentuan dan hala tuju pegangan aqidah dan keberagamaan anak-anak itu ditentukan oleh hasil pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Proses pendidikan pula bermula di rumah. Ibubapalah yang paling bertanggungjawab untuk membesarkan anak dengan tradisi keislaman di samping kecemerlangan akademik dan spirituil. Pengukuhan Agensi Penguatkuasaan dan Penggubalan Undang-undang Pelaksana dan penguatkuasaan undang-undang harus diteliti dan dipermantapkan semula. Agensi-agensi yang terlibat dengan aspek pelaksanaan, penguatkuasaan dan pemantauan harus memainkan peranan yang proaktif dan berterusan. Tindakan penguatkuasaan yang bermusim atau mengikut kemunculan isu tidak dapat memberi kesan yang positif yang berpanjangan. Apa yang perlu ialah tindakan pencegahan dan penguatkuasaan yang berterusan dan jangkaan masalah dan gejala sosial yang akan muncul bersama plan strategik jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Untuk itu, penambahan anggota, latihan, kepakaran dan motivasi perlulah juga dititikberatkan. Unsur undang-undang yang bukan sahaja bersifat menghukum tetapi juga mencegah, mendidik dan memberi pengajaran kepada yang lain haruslah dipraktikkan. Penggubal undang-undang perlulah peka dengan kompleksiti dan isu gejala sosial yang berkembang dengan zaman. Undang-undang perlu diperketatkan dari masa ke semasa untuk mengelakkan sesuatu undang-undang itu dianggap tidak lagi mampu menangani atau mencegah masalah. Pengharaman pusat-pusat dan arked-arked permainan video adalah langkah menggalakkan dan proaktif oleh pihak kerajaan. Adalah diharapkan pusat atau kafe siber tidak lagi menempatkan computer yang boleh melibatkan permainan-permainan komputer (computer games) yang berunsur ganas, kejam dan lucah. Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Bandaran boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dalam soal ini. Usaha yang lebih keras diperlukan demi untuk membasmi pelacuran. Kegiatan pelacuran yang bertopengkan peranan GRO (Guest Relationship Officer, Pegawai Perhubungan Pelanggan) di pusat-pusat hiburan (contohnya pusat karaoke) perlulah dibenteras segera. Rumah-rumah tumpangan dan hotel yang membenarkan pasangan yang bukan mahram mendudukinya perlulah dipantau dan diambil tindakan. Pusat-pusat hiburan yang membenarkan aktiviti dan budaya dekati zina, kebenaran remaja bawah umur memasukinya, penyediaan alkohol, dan dibuka melebihi waktu sebenar yang dibenarkan perlulah disita. Kerjasama pihak berkuasa air dan Tenaga Nasional serta polis dan Majlis Bandaran diperlukan untuk tujuan penyitaan. Potong sahaja bekalan air dan elektrik sekiranya mereka masih engkar perintah selepas diberikan amaran keras. Di pusat-pusat hiburan juga kebiasaannya kegiatan pengambilan pil narkotik berleluasa dan gejala gengsterismeserta kongsi gelap bermaharajalela. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu diberikan kepada langkah-langkah pencegahan dan penyedaran. Penguatkuasaan dan pencegahan perlu diberikan dengan serius. Pihak penguatkuasaan Majlis Bandaran dan Jabatan Agama dan lain-lain agensi boleh diberi kuasa yang lebih. Usaha yang dijalankan dalam pembenterasan gejala sosial perlulah berterusan, kerap dan berkeseimbangan. Serbuan ke pusat hiburan, karaoke dan disko serta tempat tumbuh dan berkembangnya gejala sosial dan budaya dekati zina perlu lebih kerap dilakukan. Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun mengisytiharkan aktiviti perjudian melalui SMS adalah haram disisi agama Islam kerana unsur penipuan. Maka segala aktiviti judi mengandungi unsur penipuan, maka ia tidak patut dibenarkan. Perlu ada tindakan tegas terhadap budaya pergaulan bebas, melepak dan membuang masa. Pergaulan bebas tanpa kawalan akan mudah terdorong kepada budaya dekati zina. Justeru, ibubapa boleh memainkan peranan memantau hubungan sosial anak-anak terutamanya pada peringkat remaja. Anak-anak kita juga perlukan perubahan sikap dan mentaliti. Janganlah terlalu terikut-ikut dengan cara pergaulan rakan-rakan yang menyimpang daripada kehendak agama. Majlis-majlis perbandaran dan agensi yang berkaitan boleh diberikan kuasa yang lebih untuk menangkap, menyaman dan memberikan khidmat penasihatan, bimbingan dan kaunseling kepada mereka yang terlibat dalam soal berpacaran atau berdua-duaan tanpa mahram. Terdapat Enakmen Jenayah Syariah Negeri yang memberi kuasa kepada pegawai penguatkuasa untuk memberikan surat amaran serta mengarahkan menghadiri kaunseling di pejabat-pejabat agama bagi pasangan-pasangan yang terlibat dalam salah laku-salah laku agama seperti duduk merangkul pasangan, duduk celah riba pasangan atau berjalan sambil merangkul pasangan yang bukan mahram. Terdapat juga Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Selangor) yang memberi kuasa kepada pegawai penguatkuasa untuk manasihati dan mengarahkan pasangan yang bukan mahram beredar seperti kesalahan berjalan dengan tangan berada di bahu pasangan, saling suap menyuap, berpegangan tangan sambil duduk rapat-rapat, bergurau senda sehingga berlakunya sentuhan, duduk rapat-rapat dan berjalan berpegangan tangan. Peruntukan undang-undang sebegini adalah baik untuk mencegah budaya berpacaran dan budaya dekati zina dan sepatutnya diperluaskan di setiap negeri bersekali dengan penguatkuasaan yang berterusan dan intensif. Harus diingat penguatkuasaan ini bukan tertentu pada waktu malam sahaja bahkan waktu siang juga. Usaha pencegahan yang berunsur pendidikan perlu disebarkan melalui berbagai medium, media massa dan media eletronik. Strategi Pembangunan Manusia dan Fizikal Pemantapan aqidah dan akhlak perlu diberikan perhatian serius. Di samping itu kecemerlangan akademik anak-anak tidak diabaikan. Aktiviti rekreasi, masa senggang dan ko-kurikulum perlu diberikan perhatian oleh para remaja dan ibubapa. Kerajaan perlu mengwujudkan lebih banyak kemudahan sukan dan aktiviti waktu senggang untuk masyarakat untuk mengalihkan perhatian anggota muda masyarakat kepada aktiviti masa lapang yang bermanafaat dan berfaedah. Anak-anak perlu diajar dan selalu diperingatkan menunaikan titah perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan laranganNya. Kita perlu melahirkan generasi yang takutkan Allah ketika bersendirian dan ketika berasa di khalayak ramai. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri. Pihak berwajib perlu melihat keseimbangan kemajuan dan pembangunan insan dalam aspek-aspek pembangunan rohani, jasmani, emosi, fizikal, mental dan spirituil. Pemahaman Konsep Sebaik-baik Ummah Dan al-Amr bi al-Maruf wa al-Nahy an al-Munkar (Menyuruh Berbuat Kebaikan dan Mencegah Kemungkaran) Kesedaran dan praktik ini perlu ada pada setiap individu, anggota masyarakat dan juga pihak berkuasa. Masyarakat haruslah mempunyai sensitiviti dan kepekaan terhadap hal ehwal yang berlaku di sekeliling mereka. Sensitiviti dan kepekaan ini dijelmakan pula dalam diri sendiri, rumah tangga dan keluarga. Elakkan sikap mementingkan diri sendiri. Konsep ini merupakan payung kepada tindakan, perbuatan dan perlakuan individu. Firman Allah s.w.t.: Yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).[21] Kesedaran dan Tanggungjawab Masyarakat Untuk melakukan usaha pencegahan dan pembenterasan gejala sosial, peranan yang dimainkan oleh ketua dan kelompok masyarakat adalah di antara perkara utama. Semangat bekerjasama dan tolong menolong (esprit de corp) antara sesama ahli komuniti patut diwujudkan dalam usaha menegakkan kebenaran dan ketaqwaan serta mencegah kemungkaran. Rasa, sikap, tindakan dan semangat bertanggung jawab bersama harus dipupuk untuk mengwujudkan suasana sifar-maksiat (sekiranya memungkinkan) sama ada di peringkat kampung, taman perumahan, daerah, wilayah dan sebagainya. Usaha ini boleh digerakkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan penguatkuasaan, ibu bapa, guru, individu, masyarakat dan sebagainya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Yang bermaksud: Seseorang mukmin bagi mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling sokong menyokong di antara satu sama lain dan Rasulallah s.a.w. mengisyaratkan dengan menyilangkan antara jari jemari baginda.[22] Tindakan menangani gejala sosial mestilah disegerakan dengan kapasiti dan kemampuan yang ada. Agensi-agensi kerajaan dan semua pihak boleh berpadu tenaga bekerjasama (cross-departmental cooperation) membenteras masalah ini. Kerajaan, agensi-agensi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pihak berwajib, guru dan pensyarah, pakar dalam bidang berkaitan dan penyelidik, ketua masyarakat dan masyarakat serta ibu bapa, masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri. Pusat Pembangunan dan Kemajuan Sosial Masjid-masjid boleh dijadikan sebagai tempat untuk membendung gejala sosial. Khutbah Jumaat adalah wadah yang baik untuk menyampaikan mesej pencegahan gejala sosial. Kempen-kempen mengenai kesedaran gejala sosial boleh diketengahkan sama ada melalui masjid, jawatankuasa taman perumahan, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong dan seumpamanya. Imam, Bilal, Nazir, AJK masjid, AJK JKKK, ketua kampong dan lain-lain boleh memainkan peranan proaktif untuk mengatasi masalah gejala sosial. Perangkaan gejala sosial boleh dikumpulkan di peringkat bawah untuk mengetahui jumlah sebenar sebelum langkah-langkah seterusnya diambil. Maka dicadangkan agar diwujudkan pusat-pusat pembangunan dan kemajuan sosial di ma
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.